Tips Mengendalikan Cecair Antibiotik Kanak-kanak
Antibiotik ialah bahan yang digunakan untuk mencegah atau merawat penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria. Ia bertindak dengan cara membunuh atau merencat pembiakan bakteria.
Lazimnya dos antibiotik untuk kanak-kanak berumur kurang dari 12 tahun dikira berdasarkan berat badan. Jika dos yang dipreskripsikan adalah kurang dari kekuatan sebiji tablet atau kapsul, kanak-kanak tersebut akan diberi antibiotik dalam bentuk cecair. Perkara sama dilakukan jika pesakit tidak boleh menelan ubat dalam bentuk pepejal.
Walau bagaimanapun, atas sebab kurang ketahanan antibiotik dalam bentuk cecair, kebanyakan antibiotik dikilangkan dalam bentuk serbuk yang dibotolkan. Serbuk tersebut perlu dibancuh terlebih dahulu sebelum digunakan. Cara bancuh yang betul sangat penting supaya cecair antibiotik yang dihasilkan mempunyai kepekatan dos yang betul.
Cara Bancuh Serbuk Antibiotik
---------------------------------------
Jika anda perhatikan, antibiotik yang perlu dibancuh mempunyai arahan cara membancuh yang dicetak pada kotak atau label ubat. Selain itu, terdapat juga arahan cara penyimpanan ubat sebelum dan setelah dibancuh.
Jika ubat diberi dalam bentuk serbuk, arahan cara membancuh turut diberikan secara lisan oleh ahli farmasi. Berikut adalah cara betul membancuh serbuk antibiotik secara umum:
1.Goncang botol sehingga tiada serbuk melekat pada botol ubat.
2.Buka penutup botol.
3.Masukkan sedikit air ke dalam botol ubat mengikut arahan pada label ubat. Sebaik-baik air yang digunakan ialah air masak yang telah disejukkan ke suhu bilik.
4.Tutup botol dengan rapat dan goncang dengan kuat sehingga tiada serbuk kelihatan.
5.Buka semula penutup botol dan isi lagi air ke dalam botol sehingga paras garisan. Garisan yang dimaksudkan ialah garisan berlekuk sepanjang lilitan botol atau garisan senggatan paling atas yang bertanda “ML”. Ia juga mungkin dalam bentuk garisan pendek yang ditanda dengan perkataan “reconstitute to this mark” (bancuh sehingga tanda ini).
6.Tutup botol ubat dan goncang sekali lagi.
7.Pastikan isipadu akhir ubat yang telah dibancuh berada pada paras garisan.
8.Ubat sedia untuk diminum.
Namun begitu terdapat juga produk antibiotik dengan arahan khusus seperti “masukkan 7ml air dan goncang sehingga larut”. Apa yang penting ialah anda membaca dengan teliti terlebih dahulu arahan yang dicetak pada label ubat.
Cara penyimpanan cecair antibiotik
---------------------------------------------
Antibiotik dalam bentuk serbuk boleh disimpan pada suhu bilik. Setelah dibancuh, kebanyakan antibiotik perlu disimpan dalam peti sejuk. Namun, terdapat juga antibiotik yang perlu dikekalkan simpan dalam suhu bilik walaupun setelah dibancuh.
Anda hendaklah merujuk kepada label ubat untuk suhu penyimpanan yang tepat. Selain itu anda juga boleh merujuk sisipan produk (jika ada) di bawah tajuk “storage and stability” (penyimpanan dan kestabilan).
Tarikh luput
---------------
Jika belum dibancuh, tarikh luput serbuk antibiotik ialah mengikut tarikh yang dicetak pada label asal ubat (apabila disimpan dalam suhu yang disarankan). Namun begitu setelah dibancuh, kebanyakan cecair antibiotik hanya bertahan selama 7 hari walaupun disimpan dalam peti sejuk.
Meskipun begitu, fomulasi antibiotik adalah berbeza-beza mengikut pengilangnya. Oleh itu cara terbaik mengetahui ketahanan antibiotik ialah dengan merujuk kepada label produk atau sisipan produk.
Perkara Yang Perlu Dilakukan Jika Dapat Antibiotik Dalam Bentuk Serbuk
Lakukan:
-----------
1.Baca dan ikut arahan bancuhan dan penyimpanan yang dicetak pada label ubat.
2.Goncang botol ubat setiap kali sebelum digunakan.
3.Jika anda menyedari tersilap bancuh antibiotik, segera hubungi pegawai farmasi untuk mendapatkan nasihat.
Elak Melakukan:
---------------------
1.Jangan bancuh semua botol ubat antibiotik serentak.
2.Jangan keluarkan serbuk antibiotik yang belum dibancuh dari botol.
3.Jangan bancuh antibiotik dengan air panas atau suam. Ia berkemungkinan akan merosakkan ubat.
Tips Beri Ubat Antibiotik Kepada Bayi Dan Kanak-Kanak
-----------------------------------------------------------------------
1.Jangan campur antibiotik dalam susu atau minuman anak. Ubat tersebut mungkin mempunyai interaksi dengan susu, menyebabkan ia tidak diserap oleh badan. Selain itu, rasa minuman yang berubah menyebabkan anak tidak mahu menghabiskannya.
2.Jika arahan pengambilan ialah 2 kali sehari, sebaik-baiknya beri antibiotik selang 12 jam. Jika 3 kali sehari, selang 8 jam dan jika 4 kali sehari, selang 6 jam.
3.Anda boleh melukis jadual pengambilan ubat pada botol dengan pen dan tandakan (X) setiap kali dos ubat telah diambil.
4.Jika terlupa beri antibiotik pada masa yang ditetapkan, beri antibiotik sejurus selepas anda teringat. Namun jika masa sudah hampir kepada dos berikutnya, tinggalkan dos yang terlupa dan ikut jadual pemberian seterusnya. Jangan gandakan dos yang tertinggal.
5.Teruskan beri antibiotik mengikut jumlah hari yang telah ditetapkan oleh doktor walaupun anak kelihatan telah sembuh. Ini kerana saki-baki bakteria yang hidup boleh membiak dan menjadi kebal terhadap ubat tersebut.
6.Jika sakit masih tidak sembuh walaupun antibiotik telah diambil mengikut jumlah hari yang ditetapkan, bawa anak anda ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.
Pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi - 5.00 petang).

Comments
Post a Comment